Benih melukut dimakan angsa
Benih kempas di pinggir kali
Dek mengikut peredaran masa
Puteri ku lepas, tapi bertali
Burung kasuari si burung unta
Jangan dikurung di dalam sangkar
Ingatlah wahai puteri tercinta
Jangan terturut perkara mungkar
Sia sia menganyam guni
Kalau padinya sudah tiada
Bohsia bohjan istilah kini
Semuanya itu gerunkan bonda
Indah lirik indah simfoni
Terhibur dek lagu nafas ku hela
Kalau diri ingin disegani
Perelok laku perindah susila
Letakkan galah di tepi dusun
Kayu beremban buat pengukur
Langkahmu biarlah langkah tersusun
Elakkan sembam elakkan sungkur
Dahan leban dihinggap tekukur
Patah rantingnya jatuh ke bangsal
Elakkan sembam elakkan sungkur
Hidup takkan diselubungi kesal
Anak kucing bergolek berguling
Comot bulunya bermain di loteng
Ke mana hala kan ku berpaling
Andainya muka telah terconteng
Jaguh ternama di persada
Disanjung ribuan yang meminati
Sungguh besar harapan bonda
Agar kebebasan tak dikhianati
Pak Samat ke pasar menjual ikan
Mengandar pari belanak belida
Selamat anakanda bonda doakan
Terhindar dari onak dan noda
Tuesday, April 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
:)
ReplyDeletemimi dah bace blom yg ni?
Assalamualaikum, bijak sungguh puan berpantun. Saya cukup tertarik untuk membaca sehingga habis.
ReplyDeleteSaya sarankan Puna mencuba cerpin. Kalau sebelum ini, tidak mengenali sesiapa dari DBP, saya boleh membantu, agar cerpen dapat diterbitkan pada terbitan-terbitan DBP.
Cubalah!
Wassalam.
Halil.
2/5/09
Waalaikumsalam,
ReplyDeleteKenapa menyaji diwaktu pagi
Sedangkan makan tidak semeja
Kenapa memuji terlalu tinggi
Sedangkan coretan biasa saja
Ulat beluncas di daun malberi
Matanya pecah dicucuk pen ......brutalnya
Pernah terlintas disanubari
Mara selangkah menulis cerpen
Ampai-ampai terkena pipi
Amboi bisanya tidak terperi
Wah, sampai nak ke terbitan DBP
Baru bertateh, takut nak berlari
Relau batu panjang sedepa
Bubuhkan pasir jadikan kaca
Walau karyaku tidak seberapa
Terima kasih kerana sudi membaca
Permata berlian menghias kerongsang
Selindang sutera boleh tersangkut
Saranan tuan ku jadikan peransang
Moga berkurang perasaan takut