Wednesday, March 10, 2010

Aku Sebutir Melukut

Atur langkah penaku
pincang
tarinya
tidak mengikut gendang
namun
aku bahagia
jika sesekali
dapat menumpang lenggang
di atas
pentas sastera kalian
yang gemilang

Aku gemar sekali menyanyi
tapi
suara
sumbang
pasti takkan dapat berlagu
senada
mersik buluh perindu
seiring
merdu seruling bambu
berirama syahdu
menyentuh kalbu

Aku sedar semua itu

Dan aku juga sedar
hadirku
tidak menambah
pergiku pula
tidak meluak

Juga
adanya aku
takkan menggenap
dan pastinya
tiadaku
takkan mengganjil

Kerana aku
hanya melukut yang sebutir
lagi tersisih jauh
di luas sebuah padang pasir

Mampuku tiada
untuk serta
bicara pujangga
dek upaya yang tak setara

Namun
izinkanlah aku
terus berada
di tepian persada
sayup memandang dari jauh
dan usahlah
aku dijeling cemuh

Berilah aku ruang
meskipun hanya seinci persegi
untuk bertijak
menjengah dari sisi
indah gerak lenggok
mata pena
dan lancarnya
alir tinta sakti
kalian
insan bestari.

Rosnani Osman
09 Mac 2010

Sunday, February 21, 2010

Tutur Indah Mendamai Rasa


Akar serendah selari di taman
Melentur rendah cermai di desa
Mekar nan indah menyeri laman
Tutur nan indah mendamai rasa

Leka berbaring dek bayu nyaman
Nanti terlambat ke jeti Labuan
Jika beriring ayu senyuman
Pasti terubat hati yang rawan

Belayar ke Sibu bersama penghulu
Meletap kemudi diikat rotan
Biar seribu purnama berlalu
Tetap kan jadi ingat-ingatan

Friday, February 19, 2010

Bukan cerpen bukan puisi, sekadar sebuah ekspresi


Pandangan yang cuba ku lontarkan jauh, terbatas oleh julaian pelepah nyiur gading yang baru beberapa kali berbuah. Bayu petang nyaman berhembus. Dinginnya menyegarkan kulit muka yang semakin hilang keanjalannya. Rasa bebas seketika dari gulana yang menghuni sanubari. Alangkah bagusnya kalau selalu begini.

Jauh sekali bezanya dengan suasana di tengah hari tadi dengan bahang akibat sinaran mentari memanas ruang. Mujurlah ada ruang di bawah rumah, ada juga tempat bersejuk-sejuk. Sudah beberapa hari panas berdenting begitu.

Aku cuba mengalihkan pandanganku ke arah lain tetapi sebaliknya terpaku melihat tangkai-tangkai golden shower yang terangguk-angguk menari keriangan ditiup angin. Walaupun telah terabai tidak berbelai sekian tahun, masih ingin memberi bakti menceriakan aku. Masih panjang umurnya walaupun tidak disiram dan dibaja, hanya bergantung kepada lembapan udara dan titisan hujan sekali sekala, serta sinar mentari percuma yang diperlukan untuk terus berbunga. Kuningnya yang kurang menyerlah berlatar-belakangkan hijau daun-daun pepohon renek. Walaupun ianya hanya oncidium biasa, aku tetap menyukainya. Sesalan tiba-tiba terasa di hati. Walau pun sadis bukan sifatku, tetapi aku sendiri tidak mengerti, mengapa kewajipan menjaga tidak ku sempurnakan, sedangkan bunga-bunga sebenarnya adalah salah satu yang menjadi kesukaan. Sungguh zalimnya diri ini, membiarkannya hidup sendiri. Akan terhukum aku nanti bila dihakimi. Ya Rahim, ampunilah aku.

Mujurlah masih panjang usianya, masih berpeluang aku mengubat senggaranya. Sengsara yang dipaparkan oleh warna daun yang tidak cukup hijaunya, mekar yang tidak sebesar mana saiznya dan kuntum yang tidak selebat mana bilangannya. Mungkin ada yang akan percaya jika aku katakan yang ianya hasil pembonsaian. Mana ada? Belum pernah aku dengar lagi orkid dibonsaikan. Apa mungkin akukah orang yang pertama melaksanakannya?

InsyaAllah akan aku berikan semula perhatian yang layak diterimanya. Akan aku pasukan semula serta ku pupuk dengan baja. Akan ku manfaatkan peluang kedua, agar laman kembali berseri, menghiburkan hati sanubari.

Pasrah


Sedak dek majun sandar ke jenang
Sedak meriuh beranda beruyung
Berputar kenari terkejut dikepung
Hendak terjun tak pandai berenang
Hendak berkayuh tiada pendayung
Terlantar diri hanyut terapung

Teleku karibu kepingin salam
Dengus terbelit tertarik ke kiri
Mati subuh lapar berantai
Beku kalbu dek dingin malam
Hangus kulit dek terik mentari
Menanti tubuh didampar ke pantai

Thursday, July 16, 2009

Relalah Aku Akan TakdirNya


Lonjak sangga dahan dipaut
Galang berkait ke pangkal kurma
Hajat menduga dalamnya laut
Malangnya kail sejengkal cuma

Sarat teritip di batang senget
Celaru rumpai lekat di tiang
Hasrat mengutip bintang di langit
Baru nak capai hari dah siang

Gadis Arab memakai purdah
Memang berbalam tak nampak rupa
Ingin ku cerap pelangi nan indah
Malangnya malam datang menerpa

Nira kelapa usah didedah
Lebah tebuan sakan hadirnya
Kira semuanya telah dipersudah
Relalah aku akan takdirNya

Friday, July 10, 2009

Acat

Special dua, bungkus asing.” Hasnah membuat pesanan.

“Ayam ke daging, kak?” pekerja warung Mertabak Mengkasar bertanya untuk mendapat kepastian.

“Daging.”

“Akak duduklah dulu” Lazimnya setelah menerima pesanan, baharu pembuat mertabak itu menyediakannya. Hasnah mengangguk lalu beredar menuju ke sebuah meja kosong. Belum pun sempat Hasnah sampai ke meja yang dituju terpandang olehnya seorang lelaki dalam lingkungan usia enam puluhan. Telah lama dia mengenali lelaki ini. Seingatnya, mula-mula sekali dia tersua dengan lelaki ini ketika usianya masih anak-anak sekitar umur sepuluh tahun. Dahulu lelaki ini sering memakai kemeja sendat serta berseluar bell-bottom. Pinggang seluar yang tidak berlisu di bahagian hadapan biasanya atas daripada paras pusat. Lengan panjang kemeja dilipat ke atas. Begitulah fesyen lelaki terkini pada waktu itu. Lebih bergaya bila dia memakai sepatu bertumit lebar, tebal lebih kurang dua inci. Macam Hail Amir.

“Assalamualaikum, apa khabar?” Hasnah menyapa. Ucapan salamnya tidak berjawab.

“Assalamualaikum, apa khabar?” Hasnah mengulangi salam pertanyaannya. Lelaki yang sedang duduk itu mendongak memandang Hasnah. ‘Tak ingat ke dia?’ bisik Hasnah dalam hati.

Lelaki itu mengamati wajah Hasnah sambil menghulurkan tangan kanannya dalam slow motion untuk bersalaman. Hasnah serba salah. Hendak dia berjabat tangan, lelaki itu bukan mukhrimnya. Sementara itu ucapan salam Hasnah masih tidak dijawab.

Hasnah menoleh ke arah hujung warung itu. Kelihatan seorang lelaki berkaca mata sedang membulat-bulatkan tepung yang sudah diuli. Pasti itu untuk roti canai serta mertabak. Dia sesekali mengangkat mukanya memandang dari jauh ke arah Hasnah. Hasnah senyum kepadanya tanda ia sedar akan kewujudan lelaki si Penguli roti itu. ‘Dia memperhatikan aku ke?’

Hendak dibiarkan sahaja tangan lelaki itu, takut kecil pula hatinya nanti. Tergantung sejenak tangan lelaki itu menunggu disambut oleh tangan Hasnah. ‘Tak payah salamlah.’ Hasnah menggumam. Setelah beberapa saat dalam dilemma akhirnya disentuh juga hujung jari lelaki itu. Dharurat fikirnya. Pandai-pandai sahaja Hasnah membuat fatwa.

“Duduk mana sekarang?” Satu lagi pertanyaan terpacul dari mulut Hasnah. Hasnah bertanya walau pun Hasnah sememangnya tahu di mana tempat tinggalnya. Sudah terang bersuluh pula. Namun soalan ketiganya juga tidak berjawab. Seolah-olah komunikasi pada waktu itu merupakan satu perkara yang mustahil.

‘Agaknya dah nyanyuk Acat ini.’ Hasnah meneka dalam hatinya. Dulu masa muda-muda, Acat peramah orangnya. Kalau terserempak di mana-mana pasti berbalas sapa dahulu sebelum meneruskan perjalanan masing-masing. Macam-macam soalan yang diajukan kepada Hasnah. Terteleng kepalanya dan terlibas-libas tangannya bila berseloroh. Kekadang dia mengusik dengan perkataan. Kekadang memuji. Tetapi soalan Hasnah kepadanya biasanya hanya datang dalam dua bentuk.. Satu, ‘Dari mana?’ dan satu lagi ‘Nak ke mana?’ Pada Hasnah tidak banyak perkara yang dapat mereka kongsi bersama. Lainlah kalau Acat seorang perempuan.

“Buat air untuk dia.” Acat menoleh kepada pelayan warung itu, membuat pesanan sambil jarinya dihalakan ke arah Hasnah. ‘Tak nyanyuk lagi!’ desis Hasnah. Mungkin Acat sekadar kurang pendengaran. Itu telahan Hasnah. Dia kini faham mengapa soalan-soalannya sebelum itu tidak berjawab. Mungkin juga penglihatannya pun sudah kabur. Kalau tidak masakan dia mengambil masa untuk mengecam Hasnah awal-awal tadi.

“Tak apa, tak apa. Saya bungkus je. Tak makan kat sini.” Hasnah membatalkan pesanan Acat untuknya sambil menarik kerusi lalu duduk. Acat bangun mendekati meja Hasnah. Ditariknya sebuah kerusi yang rapat ke meja lalu dengan santun melabuhkan punggungnya. Terus dia mengesotkan kerusinya itu kearah Hasnah agar lebih dekat. Hasnah cuba sedaya upaya mengawal dirinya agar tenang. Acat terlalu hampir. Dan-dan itu juga rasanya dia hendak mengundur. Kalaulah kerusi itu beroda tentu mudah bagi Hasnah melakukannya.

Tiba-tiba Hasnah tersentak.apabila Acat memegang hujung sikunya. Sungguh tidak selesa rasa Hasnah kerana dia tidak pernah diperlakukan begitu sebelum ini oleh mana-mana lelaki. Walau bagaimana pun dia faham yang Acat bukanlah lelaki miang. Jauh sangat kalau hendak dikatakan Acat cuba menggoda. Dia beranggapan Acat cuma mempamerkan kemesraan terhadap seorang kawan. Mungkin Acat pukul rata semuanya. Asal kawan sahaja, tidak kira lelaki atau perempuan, semuanya halal bersalaman, dan bersentuhan tidak menjadi hal yang ditegah. Perlahan-lahan Hasnah mengalihkan sikunya sehingga terpisah dari sentuhan Acat. Hasnah berasa malu berada dalam keadan demikian tetapi dia cuba melenyapkan perasaan begitu dan menyedapkan hatinya. ‘Ah. Semua orang kenal Acat. Aku tak perlu berasa sebal.’

Sambil mencondongkan badannya agar dapat bercakap lebih rapat dengan Hasnah, Acat tersenyum. Berkilat-kilat kulit muka Acat ketegangan. Tembam betul mukanya sejak tua-tua ini. Badannya jauh lebih gempal kalau dibandingkan dengan masa dahulu. “Gemuk mu sekarang.” Acat membuat komen ke atas diri Hasnah. Komen serupa itu jugalah yang diterimanya dari Acat tiap kali bersua.

‘Ai! Siapa yang gemuk sebenarnya?’ Hasnah berkata dalam hati seolah-olah tidak mengakui komen Acat terhadap dirinya. Sebenarnya Hasnah tidaklah gemuk mana. Cuma dia tinggi orangnya. Sementelah dia memakai kemeja denim yang longgar. Mungkin juga Acat membuat perbandingan antara Hasnah kini dengan Hasnah tiga empat puluh tahun dahulu. Sememangnya sewaktu Hasnah muda-muda dulu Hasnah melidi kurusnya.

Acat bangun beredar ke sinki dengan cara yang lazim baginya. Biasanya Acat berjalan tidak tegak tetapi seakan-akan condong ke hadapan, sekitar lima darjah. Kedua tangannya jarang diluruskan ke bawah malah dibengkokkan. Pergelangan tangan hingga ke hujung jari terjulai.
Pemergian Acat diekori mata Hasnah. Di sinki Acat membasuh sebuah periuk kecil kemudian dia menuju ke arah si Penguli roti canai tadi. Hasnah memerhati dari jauh. Entah apa yang dicakapkan mereka. Kemudian Acat kembali dan mencapai satu beg plastik kecil bewarna hijau dari belakang amplifier di atas rak berdekatan dengan meja Hasnah.

Acat menghampiri Hasnah semula. Sambil melibas gemalai pergelangan tangannya ke belakang, Acat berkata “Aku nak pergi masjid.” Acat senyum mempamerkan pipi dan dagunya yang mengening berkilat. Sambil mencondongkan tubuhnya sedikit kearah Hasnah, dia sekali lagi menghulurkan tangan untuk bersalaman.

‘Kopiah dan pelekat rupa-rupanya yang dalam plastik hijau tu’ Hasnah yakin tentang itu. ‘Acat, Acat. Dengan aku tak payahlah nak salam-salam.’ Hasnah hanya memprotes dalam hati. Dia tidak sampai hati untuk menzahirkan protesnya itu. Terus Hasnah menghulurkan hujung jarinya syarat bersalaman dengan Acat. Salah ni! Tapi apa hendak dibuat? Layan sahajalah.

Hasnah melontarkan pandangannya ke arah si Penguli roti tadi. Lelaki muda berkaca mata itu senyum memandang Hasnah dari jauh. Kini Hasnah pasti yang dia diperhati oleh lelaki itu sejak dari tadi. Hasnah membalas senyumannya. Apa maksud senyuman lelaki itu Hasnah tidak tahu. Apa yang pasti, senyum Hasnah itu adalah senyum yang mengharapkan pengertian dari orang keliling agar tidak tersalah tafsir akan apa yang telah mereka lihat. Hasnah bukannya suka-suka hendak bersentuhan dengan lelaki. Hasnah cuma ingin menjaga hati Acat, seorang lelaki istimewa yang telah dikenalinya sekian lama, bukan sahaja lembut tetapi bodoh-bodoh alang. Kesian Acat. Mungkin sifatnya yang begitu yang menyebabkan dia tidak punya isteri hingga ke usia tua begini. Yang pastinya, tiada jodoh atau jodoh belum sampai lagi.

Berlenggang-lenggok Acat meninggalkan kawasan warung menuju ke Masjid Bukit Sekilau. Dia melintas jalan dua hala yang memisahkan kawasan warung serta taman perumahan dengan kawasan rumah-rumah kampung sekitar masjid, sementara Hasnah mengekorinya dengan mata dari jauh. Sebaik sahaja Acat hilang dari pandangan Hasnah, azan menandakan waktu asar telah masuk, dilaungkan dari surau belakang warung. Pada masa yang sama azan dari masjid juga kedengaran.

Sewaktu azan bergema, terdengar juga soseh-soseh orang berborak. Beberapa orang lelaki di warung mertabak itu sedang menjamu selera. Tanpa menghiraukan azan, mereka terus dengan topik-topik mereka. ‘Ada juga lagi yang masih ambil ringan tentang adab ketika azan. Aku pun terkadang macam tu juga.’ Bisik Hasnah dalam hatinya.

‘Bagus Acat tu. Walaupun dia macam tu, taat dia mengerjakan suruhanNya. Semoga dia berbahagia hingga ke akhir hayatnya. Amin.'

Saturday, July 4, 2009

Sendirian

Keseorangan
Aku ditinggal di teratak usang
Tidak berteman bagaikan insan terbuang
Masih aku teringat
Dahulu aku berempat
Terkadang bertiga
Terkadang berdua
Menjamu selera di Gerai Acik Patta
Dan terkadang di Gerai Pak Hamzah Roti Perata
Tapi kini cuma aku seorang sahaja
Sebatang kara

Ketika siang mula diganti
Oleh senja yang di ekori sepi
Di ufuk barat mentari membenam menghilangkan diri
Merentap sinar yang telah sekian waktu mencerahkan hari

Kini malam pula menyapa
Menjenguk diri yang lara hiba nestapa
Sayu, pilu, resah gelisah kian terasa
Kesepian tiada teman berbual mesra
Hanya dapat ku adu kepada yang Maha Esa

Di kelam malam
Aku duduk keseorangan

Diterpa suka duka kenangan silam tanpa undangan
Terkadang ditertawa cengkerik keriangan
Terkadang tersentak dek riang-riang
Yang mendesing berpanjang-panjangan

Ku perhati di sekelilingku
Hanya kelihatan papan-papan dinding yang telah lesu
Berdebu, membisu
Ku alih pandangan ke luar jendela tidak berbidai
Dari celah kekisi tegak menyeringai
Ku lihat daun nyiur lentur menjulai
Ditiup pawana lembut melambai
Lantas terasa aku diwakili
Memanggil pulang insan-insan yang ku cintai
Putera dan puteri serta sang suami yang dikasihi

Sendiri
Namun aku sendiri jua
Mungkinkah begini hingga ke hujungnya?
Menapak kaki longlai di baki usia tua
Menunggu saat undangan tiba

Untuk bepergian buat selama-lamanya

Tapi bagaimana?
Jika ditakdir tiba saat itu
Saat lidah mula mengelu
Sekujur tubuh mula kaku
Siapakah nanti yang akan berada disisiku?
Siapa pula yang akan mentalqinkan aku?
Siapa nanti yang akan merapatkan kelopak mataku
Dan memperbetulkan kedudukan tanganku?
Setelah nyawa meninggalkan jasad
Setelah sendi-sendiku mula mengetat
Setelah warnaku bertukar pucat

Ah
Tidak usahlah difikirkan hal itu
Itu semua bukan urusanku
Tapi urusan Dia Yang Satu
Telah ditetapkan olehNya bagi tiap-tiap sesuatu
Telah disusun atur olehNya setiap yang berlaku
Tak perlu aku bantu

Hanya
Persoalan pokok harus aku kaji
Banyakkah sudah pahala ku kumpul?
Bagi mengimbangi dosa berpikul?
Amal jariah ada aku buat?
Pernah aku menyebar ilmu yang bermanfaat?
Solehkah anak-anak, kepada Tuhan adakah mereka taat?

Sendiri
Akan kita akhirnya sendiri
Akan kita akhirnya keseorangan lagi
Sendiri tiada berbekalkan harta
Walau hidup punya wang berjuta

Sendiri
Tiada yang akan menemani
Walau hidup ramai teman sana sini
Hanya yang akan ada nanti
Kain putih tidak berjahit
Kecuali mereka yang mati syahid

Begitulah keadaannya aku nanti
Begitu jugalah keadaan setiap insan, itu memang pasti
Di perut bumi, terperesuk, sedalam enam kaki
Sempit, terhimpit
Gelap-katup terpisah terus dari sinar mentari
Dirayapi makhluk-makhluk yang aku geli
Cacing, ulat-ulat serta kala
Kecuali mereka yang nasibnya terbela
Oleh amalan baik ketika di dunia
Ruang kuburnya akan terang-benderang
Luas selapang-lapang

Tapi kini bagaimana?
Sejengkal cuma bakinya usia
Sempatkah aku mengumpul semua perkara?
Sedangkan hendak menderma, wang hanya sesen dua
Hendak wakafkan harta, tanah ada sekepal cuma
Hendak mengajar, ilmu pula sekelumit sahaja
Hendak mengharap doa dari anak yang soleh,
Memang …
Berharap benar itu akan ku peroleh
Kecewalah aku kiranya

Mendapatkan itu pun, aku tak boleh

Apa pun
Kesejahteraan mereka tetap aku doa
Kemaafan tetap ku beri walau tidak dipinta
Semoga yang tinggal kelak rasa bahagia
Dari dunia fana hingga ke syurga
Amin