Thursday, April 30, 2009

Usah Mengharap

Apa diharap padi seberang
Entah berisi entah kan dedak
Entah diredah merbah melayang
Apa diharap padanya orang
Entah kasih entah kan tidak
Entah sudah berubah sayang

Bunga kesidang bunga raya
Kalau dipetik takut kan layu
Baik dialas kain perada
Apa dipandang padanya saya
Wajah tak cantik senyum tak ayu
Hati ikhlas saja yang ada

Tuesday, April 28, 2009

Aku Dah Mula, Seronok...

Semalam petang,
Sewaktu aku sedang duduk mengadap monitor
Ku lihat suamiku lalu mundar-mandir,
Mengumpul peralatan kerja,
Ada urusan di luar desa,.
Tempuh belum pasti, tak esok, lusa,
Pulanglah ia.

Aku baru sahaja beberapa hari berblog,
Perasaan seronok pun masih belum reda.
Sebenarnya tulisan ku itu tidaklah seberapa
Madah, tidaklah seindah madah pujangga... jauh panggang dari api!
Aku cuma berpantun, yang mudah mudah.
Pantun nasihat untuk anak anak,
Bukan anak-anak ku sahaja,
Tapi anak-anak semuanya.

Namun, aku mesti khabarkan kepadanya.
Aku sedar
Bahawa perlakuan ku sebenarnya sudah salah urutan,
Ya aku sedar..
Sepatutnya kebenaran harus aku perolehi sebelum mula,
Ini tidak, buat dulu baru cerita.
Apa nak buat kalau dia melarang, tak suka,
Apa harus kah aku berhenti sahaja?

Ku beranikan diri, "Zad, marilah tengok."
"Apa? " sahutnya.
"I dah buka blog sendiri, marilah tengok." Beria-ia aku mengajaknya.

Dalam berpeluh-peluh dilayannya juga ajakan aku,
Duduk dia di kerusi.
Membaca.
Terus lagi mambaca.
Ku lihat dari arah sisi mukanya
Dia tersenyum kecil.
Senyum lagi...
Ku kerutkan kening, ku kecilkan mata,
Ku amati dari arah sisi mukanya...
Pasti ianya senyum tulin
Bukan senyum sinis.

"Siapa ajar awak?" soalan darinya sambil terus membaca "karyaku".
"Bani?"
Bani ialah anak perempuan abangku sebelah rumah, balik bercuti.
Dia bersamaku sebentar tadi,
Gelak gelak perlahan takut mengganggu tidur suamiku..
Tidur sebentar sebelum memulakan perjalanan petang nanti.

"Tak. Dia tak ajar, tapi bagi sokongan." sahut ku.

Suamiku bangun beredar dari situ.
Nyata tidak ada bantahan darinya.
Cuma senyum kecil serupa tadi yang kelihatan.
Entah apa dalam fikirannya, tak taulah.
Mungkinkah hatinya berkata "Ada bakat juga dia ni."
Atau "Jangan hangat-hangat tahi ayam, dah lah!"

Apa pun, aku tak perlu risau.
Janji, tiada bantahan.

Akan ku teruskan selagi punya masa
Selagi terdaya.

Wahai Puteri....

Benih melukut dimakan angsa
Benih kempas di pinggir kali
Dek mengikut peredaran masa
Puteri ku lepas, tapi bertali

Burung kasuari si burung unta
Jangan dikurung di dalam sangkar
Ingatlah wahai puteri tercinta
Jangan terturut perkara mungkar

Sia sia menganyam guni
Kalau padinya sudah tiada
Bohsia bohjan istilah kini
Semuanya itu gerunkan bonda

Indah lirik indah simfoni
Terhibur dek lagu nafas ku hela
Kalau diri ingin disegani
Perelok laku perindah susila

Letakkan galah di tepi dusun
Kayu beremban buat pengukur
Langkahmu biarlah langkah tersusun
Elakkan sembam elakkan sungkur

Dahan leban dihinggap tekukur
Patah rantingnya jatuh ke bangsal
Elakkan sembam elakkan sungkur
Hidup takkan diselubungi kesal

Anak kucing bergolek berguling
Comot bulunya bermain di loteng
Ke mana hala kan ku berpaling
Andainya muka telah terconteng

Jaguh ternama di persada
Disanjung ribuan yang meminati
Sungguh besar harapan bonda
Agar kebebasan tak dikhianati

Pak Samat ke pasar menjual ikan
Mengandar pari belanak belida
Selamat anakanda bonda doakan
Terhindar dari onak dan noda

Monday, April 27, 2009

Pesan Ibunda

Warkah panjang dari Sunda
Surat kiriman ke Sri Lanka
Dengarlah sayang bicara bonda
Buat pedoman di hari muka

Terbit fajar terang semesta
Hangat bumi dek sang suria
Tekunlah belajar capailah cita
Keringat ayahanda usah dipersia

Kelah kelisa kailkan saya
Burung kelicap untuk siapa
Jadilah anakanda insan bahagia
Dunia dikecap akhirat tidak lupa

Buah berangan daun mempelas
Budak nakal mandi di paya
Berbudi jangan harapkan balas
Kelak amal mu akan tersia

Sunday, April 26, 2009

Salam Pembuka Kata

Assalamualaikum kepada taulan
Yang muda yang tua yang kurus yang sasa
Marilah kita seiring sejalan
Kayakan budaya perkasakan bangsa

Memulakan kata dengan bismillah
Agar urusan mendapat berkat
Yang silap yang salah tegurkanlah
Wahai kawan jauh dan dekat

Kalau hendak memikat denak
Tunggulah hingga hari dah senja
Aku baru hendak berjinak
Ku cekalkan hati ku redah sahaja

Kalimah diucap membuka kata
Mengubat hati yang sedang pilu
Tersalah cakap maaf ku pinta
Agar hatiku tenang selalu