Tuesday, April 28, 2009

Wahai Puteri....

Benih melukut dimakan angsa
Benih kempas di pinggir kali
Dek mengikut peredaran masa
Puteri ku lepas, tapi bertali

Burung kasuari si burung unta
Jangan dikurung di dalam sangkar
Ingatlah wahai puteri tercinta
Jangan terturut perkara mungkar

Sia sia menganyam guni
Kalau padinya sudah tiada
Bohsia bohjan istilah kini
Semuanya itu gerunkan bonda

Indah lirik indah simfoni
Terhibur dek lagu nafas ku hela
Kalau diri ingin disegani
Perelok laku perindah susila

Letakkan galah di tepi dusun
Kayu beremban buat pengukur
Langkahmu biarlah langkah tersusun
Elakkan sembam elakkan sungkur

Dahan leban dihinggap tekukur
Patah rantingnya jatuh ke bangsal
Elakkan sembam elakkan sungkur
Hidup takkan diselubungi kesal

Anak kucing bergolek berguling
Comot bulunya bermain di loteng
Ke mana hala kan ku berpaling
Andainya muka telah terconteng

Jaguh ternama di persada
Disanjung ribuan yang meminati
Sungguh besar harapan bonda
Agar kebebasan tak dikhianati

Pak Samat ke pasar menjual ikan
Mengandar pari belanak belida
Selamat anakanda bonda doakan
Terhindar dari onak dan noda

3 comments:

  1. :)
    mimi dah bace blom yg ni?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, bijak sungguh puan berpantun. Saya cukup tertarik untuk membaca sehingga habis.

    Saya sarankan Puna mencuba cerpin. Kalau sebelum ini, tidak mengenali sesiapa dari DBP, saya boleh membantu, agar cerpen dapat diterbitkan pada terbitan-terbitan DBP.

    Cubalah!

    Wassalam.

    Halil.
    2/5/09

    ReplyDelete
  3. Waalaikumsalam,

    Kenapa menyaji diwaktu pagi
    Sedangkan makan tidak semeja
    Kenapa memuji terlalu tinggi
    Sedangkan coretan biasa saja

    Ulat beluncas di daun malberi
    Matanya pecah dicucuk pen ......brutalnya
    Pernah terlintas disanubari
    Mara selangkah menulis cerpen

    Ampai-ampai terkena pipi
    Amboi bisanya tidak terperi
    Wah, sampai nak ke terbitan DBP
    Baru bertateh, takut nak berlari

    Relau batu panjang sedepa
    Bubuhkan pasir jadikan kaca
    Walau karyaku tidak seberapa
    Terima kasih kerana sudi membaca

    Permata berlian menghias kerongsang
    Selindang sutera boleh tersangkut
    Saranan tuan ku jadikan peransang
    Moga berkurang perasaan takut

    ReplyDelete