“Special dua, bungkus asing.” Hasnah membuat pesanan.
“Ayam ke daging, kak?” pekerja warung Mertabak Mengkasar bertanya untuk mendapat kepastian.
“Daging.”
“Akak duduklah dulu” Lazimnya setelah menerima pesanan, baharu pembuat mertabak itu menyediakannya. Hasnah mengangguk lalu beredar menuju ke sebuah meja kosong. Belum pun sempat Hasnah sampai ke meja yang dituju terpandang olehnya seorang lelaki dalam lingkungan usia enam puluhan. Telah lama dia mengenali lelaki ini. Seingatnya, mula-mula sekali dia tersua dengan lelaki ini ketika usianya masih anak-anak sekitar umur sepuluh tahun. Dahulu lelaki ini sering memakai kemeja sendat serta berseluar bell-bottom. Pinggang seluar yang tidak berlisu di bahagian hadapan biasanya atas daripada paras pusat. Lengan panjang kemeja dilipat ke atas. Begitulah fesyen lelaki terkini pada waktu itu. Lebih bergaya bila dia memakai sepatu bertumit lebar, tebal lebih kurang dua inci. Macam Hail Amir.
“Assalamualaikum, apa khabar?” Hasnah menyapa. Ucapan salamnya tidak berjawab.
“Assalamualaikum, apa khabar?” Hasnah mengulangi salam pertanyaannya. Lelaki yang sedang duduk itu mendongak memandang Hasnah. ‘Tak ingat ke dia?’ bisik Hasnah dalam hati.
Lelaki itu mengamati wajah Hasnah sambil menghulurkan tangan kanannya dalam slow motion untuk bersalaman. Hasnah serba salah. Hendak dia berjabat tangan, lelaki itu bukan mukhrimnya. Sementara itu ucapan salam Hasnah masih tidak dijawab.
Hasnah menoleh ke arah hujung warung itu. Kelihatan seorang lelaki berkaca mata sedang membulat-bulatkan tepung yang sudah diuli. Pasti itu untuk roti canai serta mertabak. Dia sesekali mengangkat mukanya memandang dari jauh ke arah Hasnah. Hasnah senyum kepadanya tanda ia sedar akan kewujudan lelaki si Penguli roti itu. ‘Dia memperhatikan aku ke?’
Hendak dibiarkan sahaja tangan lelaki itu, takut kecil pula hatinya nanti. Tergantung sejenak tangan lelaki itu menunggu disambut oleh tangan Hasnah. ‘Tak payah salamlah.’ Hasnah menggumam. Setelah beberapa saat dalam dilemma akhirnya disentuh juga hujung jari lelaki itu. Dharurat fikirnya. Pandai-pandai sahaja Hasnah membuat fatwa.
“Duduk mana sekarang?” Satu lagi pertanyaan terpacul dari mulut Hasnah. Hasnah bertanya walau pun Hasnah sememangnya tahu di mana tempat tinggalnya. Sudah terang bersuluh pula. Namun soalan ketiganya juga tidak berjawab. Seolah-olah komunikasi pada waktu itu merupakan satu perkara yang mustahil.
‘Agaknya dah nyanyuk Acat ini.’ Hasnah meneka dalam hatinya. Dulu masa muda-muda, Acat peramah orangnya. Kalau terserempak di mana-mana pasti berbalas sapa dahulu sebelum meneruskan perjalanan masing-masing. Macam-macam soalan yang diajukan kepada Hasnah. Terteleng kepalanya dan terlibas-libas tangannya bila berseloroh. Kekadang dia mengusik dengan perkataan. Kekadang memuji. Tetapi soalan Hasnah kepadanya biasanya hanya datang dalam dua bentuk.. Satu, ‘Dari mana?’ dan satu lagi ‘Nak ke mana?’ Pada Hasnah tidak banyak perkara yang dapat mereka kongsi bersama. Lainlah kalau Acat seorang perempuan.
“Buat air untuk dia.” Acat menoleh kepada pelayan warung itu, membuat pesanan sambil jarinya dihalakan ke arah Hasnah. ‘Tak nyanyuk lagi!’ desis Hasnah. Mungkin Acat sekadar kurang pendengaran. Itu telahan Hasnah. Dia kini faham mengapa soalan-soalannya sebelum itu tidak berjawab. Mungkin juga penglihatannya pun sudah kabur. Kalau tidak masakan dia mengambil masa untuk mengecam Hasnah awal-awal tadi.
“Tak apa, tak apa. Saya bungkus je. Tak makan kat sini.” Hasnah membatalkan pesanan Acat untuknya sambil menarik kerusi lalu duduk. Acat bangun mendekati meja Hasnah. Ditariknya sebuah kerusi yang rapat ke meja lalu dengan santun melabuhkan punggungnya. Terus dia mengesotkan kerusinya itu kearah Hasnah agar lebih dekat. Hasnah cuba sedaya upaya mengawal dirinya agar tenang. Acat terlalu hampir. Dan-dan itu juga rasanya dia hendak mengundur. Kalaulah kerusi itu beroda tentu mudah bagi Hasnah melakukannya.
Tiba-tiba Hasnah tersentak.apabila Acat memegang hujung sikunya. Sungguh tidak selesa rasa Hasnah kerana dia tidak pernah diperlakukan begitu sebelum ini oleh mana-mana lelaki. Walau bagaimana pun dia faham yang Acat bukanlah lelaki miang. Jauh sangat kalau hendak dikatakan Acat cuba menggoda. Dia beranggapan Acat cuma mempamerkan kemesraan terhadap seorang kawan. Mungkin Acat pukul rata semuanya. Asal kawan sahaja, tidak kira lelaki atau perempuan, semuanya halal bersalaman, dan bersentuhan tidak menjadi hal yang ditegah. Perlahan-lahan Hasnah mengalihkan sikunya sehingga terpisah dari sentuhan Acat. Hasnah berasa malu berada dalam keadan demikian tetapi dia cuba melenyapkan perasaan begitu dan menyedapkan hatinya. ‘Ah. Semua orang kenal Acat. Aku tak perlu berasa sebal.’
Sambil mencondongkan badannya agar dapat bercakap lebih rapat dengan Hasnah, Acat tersenyum. Berkilat-kilat kulit muka Acat ketegangan. Tembam betul mukanya sejak tua-tua ini. Badannya jauh lebih gempal kalau dibandingkan dengan masa dahulu. “Gemuk mu sekarang.” Acat membuat komen ke atas diri Hasnah. Komen serupa itu jugalah yang diterimanya dari Acat tiap kali bersua.
‘Ai! Siapa yang gemuk sebenarnya?’ Hasnah berkata dalam hati seolah-olah tidak mengakui komen Acat terhadap dirinya. Sebenarnya Hasnah tidaklah gemuk mana. Cuma dia tinggi orangnya. Sementelah dia memakai kemeja denim yang longgar. Mungkin juga Acat membuat perbandingan antara Hasnah kini dengan Hasnah tiga empat puluh tahun dahulu. Sememangnya sewaktu Hasnah muda-muda dulu Hasnah melidi kurusnya.
Acat bangun beredar ke sinki dengan cara yang lazim baginya. Biasanya Acat berjalan tidak tegak tetapi seakan-akan condong ke hadapan, sekitar lima darjah. Kedua tangannya jarang diluruskan ke bawah malah dibengkokkan. Pergelangan tangan hingga ke hujung jari terjulai.
Pemergian Acat diekori mata Hasnah. Di sinki Acat membasuh sebuah periuk kecil kemudian dia menuju ke arah si Penguli roti canai tadi. Hasnah memerhati dari jauh. Entah apa yang dicakapkan mereka. Kemudian Acat kembali dan mencapai satu beg plastik kecil bewarna hijau dari belakang amplifier di atas rak berdekatan dengan meja Hasnah.
Acat menghampiri Hasnah semula. Sambil melibas gemalai pergelangan tangannya ke belakang, Acat berkata “Aku nak pergi masjid.” Acat senyum mempamerkan pipi dan dagunya yang mengening berkilat. Sambil mencondongkan tubuhnya sedikit kearah Hasnah, dia sekali lagi menghulurkan tangan untuk bersalaman.
‘Kopiah dan pelekat rupa-rupanya yang dalam plastik hijau tu’ Hasnah yakin tentang itu. ‘Acat, Acat. Dengan aku tak payahlah nak salam-salam.’ Hasnah hanya memprotes dalam hati. Dia tidak sampai hati untuk menzahirkan protesnya itu. Terus Hasnah menghulurkan hujung jarinya syarat bersalaman dengan Acat. Salah ni! Tapi apa hendak dibuat? Layan sahajalah.
Hasnah melontarkan pandangannya ke arah si Penguli roti tadi. Lelaki muda berkaca mata itu senyum memandang Hasnah dari jauh. Kini Hasnah pasti yang dia diperhati oleh lelaki itu sejak dari tadi. Hasnah membalas senyumannya. Apa maksud senyuman lelaki itu Hasnah tidak tahu. Apa yang pasti, senyum Hasnah itu adalah senyum yang mengharapkan pengertian dari orang keliling agar tidak tersalah tafsir akan apa yang telah mereka lihat. Hasnah bukannya suka-suka hendak bersentuhan dengan lelaki. Hasnah cuma ingin menjaga hati Acat, seorang lelaki istimewa yang telah dikenalinya sekian lama, bukan sahaja lembut tetapi bodoh-bodoh alang. Kesian Acat. Mungkin sifatnya yang begitu yang menyebabkan dia tidak punya isteri hingga ke usia tua begini. Yang pastinya, tiada jodoh atau jodoh belum sampai lagi.
Berlenggang-lenggok Acat meninggalkan kawasan warung menuju ke Masjid Bukit Sekilau. Dia melintas jalan dua hala yang memisahkan kawasan warung serta taman perumahan dengan kawasan rumah-rumah kampung sekitar masjid, sementara Hasnah mengekorinya dengan mata dari jauh. Sebaik sahaja Acat hilang dari pandangan Hasnah, azan menandakan waktu asar telah masuk, dilaungkan dari surau belakang warung. Pada masa yang sama azan dari masjid juga kedengaran.
Sewaktu azan bergema, terdengar juga soseh-soseh orang berborak. Beberapa orang lelaki di warung mertabak itu sedang menjamu selera. Tanpa menghiraukan azan, mereka terus dengan topik-topik mereka. ‘Ada juga lagi yang masih ambil ringan tentang adab ketika azan. Aku pun terkadang macam tu juga.’ Bisik Hasnah dalam hatinya.
‘Bagus Acat tu. Walaupun dia macam tu, taat dia mengerjakan suruhanNya. Semoga dia berbahagia hingga ke akhir hayatnya. Amin.'
Friday, July 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum!
ReplyDeleteKalaulah saya dibenarkan memberi pandangan, maka inilah pandangan saya:
1.Cerita ini mempunyai potensi untuk dikembangkan. Watak Acat menyebabkan saya terfikir, apakah dia mempunyai cerita lain dari yang lain. Sebagai seorang yang menjaga sembahyangnya, dia juga tidak segan silu untuk bersalaman dengan orang yang bukan muhrim. Apakah Acat diberi nama begitu kerana dia cacat akal??
2.Kalaulah ini karya saya, mungkin akan saya garap jalan cerita dengan memasukkan elemen drama di dalamnya. Saya fikir, watak Hasnah hanyalah watak yang memulakan. Seharusnya, watak utama adalah Acat. Justru, sudut pandangan dalam cerita ini haruslah berbeza-beza. Babak selanjutnya mungkin dari kaca mata Acat pula. Inilah cabaran dalam cerita ini. Bagaimana kita berfikir seperti orang yang cacat akal?? Cubalah akhiri cerita ini dengan satu ‘letupan’ yang hebat. Sesuatu yang pembaca tidak langsung menjangkakan.
3.Kalaulah boleh saya tegur sedikit, pastikanlah agar suntingan dibuat dengan teliti sebelum karya dimuatnaik. Pastikan ejaan, tata-bahasa, dan penggunaan tanda kata adalah betul.
4.Puan menggunakan kata-kata seperti ‘dan-dan’ dan ‘soseh-soseh’. Saya tidak pasti samada perkataan ini diguna pakai secara rasmi dalam bahasa Melayu. Kalau ya, saya pasti akan menggunakannya satu ketika nanti.
Teruskan berkarya. Lanjutkan cerita ini. Sapa tahu, akan ramai yang mahu mengikutinya. Yang pasti, saya tentu akan menanti sambungan selanjutnya.
Wallahua’lam…
Waalaikum salam En Halil.
ReplyDeleteRibuan terima kasih saya ucapkan di atas murah hati En Halil membuat kritikan-kritikan itu.. Cukup gementar saya rasa ketika membacanya. Gementar bukan kerana rasa terpukul tetapi kerana bimbang yang amat kiranya tidak mampu membuat peningkatan. Ternyata sekali, bukan mudah untuk jadi seorang penulis cerpen/novel.
Lebih gementar bila memikirkan sukarnya untuk meneruskan karangan cerita ini, usaha yang memerlukan tahap kreativiti yang tinggi yang pastinya saya tak punya. Sungguh mencabar bidang penulisan ini bagi saya.
Walau bagaimana pun, akan saya titik beratkan segala teguran dan akan saya lebihkan bacaan cerpen /novel sebagai rangsangan kepada minda, insyaAllah.
Terima kasih untuk segala-galanya.
Wassalam.